Tuesday 6 September 2011

Tenis tarik diri sertai Sukan SEA

KUALA LUMPUR - Pembangunan tenis tempatan menerima tamparan apabila Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) membuat tindakan mengejut dengan membatalkan penyertaan pasukan negara dari Sukan SEA Indonesia, November ini atas alasan tidak mampu memberi cabaran kompetitif.
Keputusan tersebut dianggap terlalu drastik memandangkan badan induk kebangsan itu sudah menghantar nama pemain pada mesyuarat pemilihan pertama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), 27 Julai lalu.
Malah, LTAM juga sebelum ini sudah mengeluarkan jemputan kepada beberapa pemain utamanya, termasuk Jawairiah Noordin yang telah bersetuju untuk menerima pelawaan bertanding pada temasya 11 hingga 22 November ini.
Selain Jawairiah, 21, antara pemain yang disenaraikan LTAM, yang dijadual mengadakan sesi pemilihan pada 31 Oktober hingga 4 November ini adalah adik-beradik Boey, Adelle dan Alyssa serta S. Theiviya, anak bekas jurulatih kebangsaan, S. Selvarajoo dalam skuad wanita.
Si Yew Meng pula dijangka mengetuai cabaran lelaki bersama Ariez Elyaas, Deen Heshaam Tan Abdullah, Assri Merzuki dan Ahmad Deedat Abd Razak.
"Saya mengesahkan tenis tidak akan bertanding pada Sukan SEA tahun ini kerana LTAM telah membatalkan penyertaan semua pemainnya.
"Alasan yang diberikan mereka adalah pemain tidak mampu memberi cabaran kompetitif untuk memenangi pingat, memandangkan standard sukan tersebut pada Sukan SEA sangat tinggi,'' kata Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi.
Malaysia tidak pernah memenangi pingat emas pada Sukan SEA, malah pada Temasya Laos, dua tahun lalu kita hanya membawa pulang satu gangsa menerusi acara berpasukan wanita yang diketuai oleh Jawairiah.
Biarpun peluang pemain negara untuk menandingi tiga kuasa tenis Asia Tenggara, Thailand, Filipina dan Indonesia dilihat sukar, namun Sukan SEA tetap menjadi platform terbaik untuk membangunkan sukan itu, apatah lagi pemain kita tidak mungkin mampu bersaing pada tahap kejohanan yang lebih tinggi. - courtesy of Utusan