Friday 23 September 2011

MOM sedia berunding dengan LTAM

Masih ada jalan penyelesaian buat Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) untuk menghantar wakil ke Sukan SEA di Indonesia, November ini berikutan kesediaan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk berunding bagi mencari kata sepakat yang lebih positif.
Malah, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, pihaknya sentiasa mengambil pendekatan yang fleksibel bagi memberi peluang kepada atlet dan persatuan sukan terlibat demi masa depan sukan negara.
"Memang tarikh tutup pendaftaran atlet ditetapkan pada 25 September ini, tetapi MOM sangat fleksibel jika LTAM masih berhajat untuk menghantar pemain ke Indonesia, maka kami bersedia menerima senarai nama pemain yang bakal dipilih oleh persatuan itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurutnya, MOM menghormati keputusan LTAM jika mereka telah memutuskan untuk menyenaraikan pemain berdasarkan penilaian yang dibuat persatuan itu hasil daripada pemilihan yang akan dibuat.
"Tetapi, seperti yang saya nyatakan sebelum ini untuk kategori A hanya akan diberi kepada Si Yew Ming dan Jawairiah Noordin manakala atlet lain akan pergi di bawah kategori B.
"Jika LTAM nak tukar pemain terpulang kepada mereka, MOM menghormati keputusan tersebut dan kita bersedia menunggu sehingga mereka menghantar senarai baru" ujarnya.
Sementara itu, Presiden LTAM, Tan Sri Abdul Razak Latif ketika dihubungi memberitahu, pihaknya berharap MOM bersedia untuk memberi ruang kepada LTAM bagi membuat pemilihan pemain ke Sukan SEA terlebih dahulu, agar calon yang dihantar kelak benar-benar berkelayakan berdasarkan prestasi terkini.
"LTAM akan berusaha untuk menganjakkan tarikh pemilihan lebih awal di mana tarikh asal sepatutnya akan dilaksanakan pada 31 Oktober ini dan jika mendapat persetujuan pemain, kita akan menetapkan satu tarikh untuk sesi pemilihan dibuat," katanya.
Beliau berkata, pihaknya terlebih dahulu perlu berunding dengan jurulatih kebangsaan sebelum para pemain dipanggil untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk sesi kelayakan itu dibuat.
"Mengenai pemergian atlet di bawah kategori A atau B, bagi saya itu hak MOM untuk memutuskannya dan tanggungjawab LTAM ialah menghantar pemain yang benar-benar berkelayakan kerana kalau boleh kita mahu menang pingat, bukan sekadar pendedahan semata-mata," tambahnya.
Jelas beliau lagi, LTAM bersedia berunding dengan MOM bagi menyelesaikan kekeliruan yang berlaku sebelum ini dan pihaknya masih menunggu keputusan badan tersebut untuk mengadakan pertemuan.