Monday 19 September 2011

Ahmad Shabery mahu Jawairiah ke Sukan SEA


LTAM tidak wajar sekat penyertaan atlit itu ke Jakarta
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan keputusan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) membatalkan penyertaan ratu tenis negara, Jawairiah Noordin beraksi di Sukan SEA XXVI di Indonesia November ini adalah tidak wajar.
Sehubungan itu, beliau mahu Jawairiah yang pernah menduduki ranking 111 remaja dunia dan memenangi tiga pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Mei lalu perlu diberi peluang beraksi pada temasya dwitahunan itu.
“Saya fikir tidak wajar LTAM membatalkan penyertaan Jawairiah ke Sukan SEA dan dia perlu diberi peluang beraksi,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasek, Terengganu semalam.
Dia menambah: “Saya mengalu-alukan langkah MOM menubuhkan Majlis Timbang Tara bagi menangani isu ini. Namun, saya harap dapat diselesaikan dengan baik.”
Jawairiah mendakwa tindakan LTAM membatalkan penyertaannya bukan kali pertama, sebaliknya pernah berlaku pada Sukan Komanwel tahun lalu.