Tuesday 25 September 2012

Dolgopolov mahu kekalkan momentum Terbuka AS


Bintang tenis dunia, (dari kiri) Alejandro Falla, Ross Hutchins dan Alexandr Dolgopolov mengacau doh biskut sambil dibantu seorang chef pada program amal 'Baked with Care' di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.




KUALA LUMPUR - Berjaya mara sehingga ke pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat 2012 bakal menjadi penguat semangat buat pemain tenis Ukraine, Alexandr Dolgopolov pada Terbuka Malaysia 2012 yang sudah bermula semalam.

Pemain yang menduduki ranking ke-19 dunia itu mengakui dia masih segar dengan pencapaiannya di Terbuka Amerika Syarikat apabila mara sehingga ke pusingan ketiga sebelum tewas kepada Stanislas Wawrinka dari Switzerland.

"Saya rasa berada dalam keadaan baik apabila tiba di Malaysia. Apa yang saya fikirkan sebaik sahaja berada di sini hanyalah untuk memberikan permainan tenis terbaik," katanya kepada media di sini semalam.

Dolgopolov, 23, merupakan pilihan keempat kejohanan dan tidak perlu untuk berhempas pula pada pusingan pertama selepas mendapat bye seterusnya menanti di antara pemenang Alejandro Falla (Colombia) dan Rajeev Ram (Amerika Syarikat).

"Saya datang ke sini dalam keadaan yang masih segar selepas beraksi di Terbuka Amerika Syarikat. Saya sempat berehat seminggu dan berlatih untuk beraksi di Malaysia, saya rasa mempunyai rehat yang cukup.

"Apa yang penting sekarang adalah saya perlu bersedia dan menunggu siapa yang bakal melayakkan diri ke pusingan kedua, perlawanan pusingan pertama memang sukar," kata pemain yang berasal dari Kiev, Ukraine.

Sementara itu, pemain pada ranking ke-35 dunia, Ross Hutchins berkata, dia sudah bersedia untuk menghiburkan peminat dengan permainan menarik walaupun dia hanya akan beraksi dalam acara beregu bersama pasangannya Colin Fleming.---www.utusan.com.my