Tuesday, 25 September 2012

Ariez Elyaas raih pengalaman berharga


Ariez Elyaas Deen Heshaam membalas pukulan pemain Belanda, Igor Sijsling pada pusingan pertama Tenis Terbuka Malaysia semalam. - UTUSAN/Ghazali Basri


KUALA LUMPUR - Pengalaman pemain tenis muda negara, Ariez Elyaas Deen Heshaam beraksi pada peringkat tertinggi kariernya pada Terbuka Malaysia ATP semalam, bertahan hanya 50 minit apabila dia kecundang mudah 2-6, 1-6 kepada pemain Belanda, Igor Sijsling pada pusingan pertama.

Ariez, 18, mengerah segala yang terdaya untuk memberi cabaran kepada lawannya namun hakikatnya perbezaan taraf antara kedua-dua mereka cukup jelas memihak Sijsling, yang merupakan pemain No. 97 dunia.

Ariez bermula cemerlang mendahului 2-1, dengan mata kedua diperolehi dengan mematahkan servis Sijsling. Namun langkahnya terhenti setakat itu apabila lawannya, yang pernah memenangi lima kejuaraan bertaraf 'Challenger' (setahap rendah di bawah Jelajah Dunia ATP), mula mendapat rentak lalu mudah melengkap kemenangan set pertama 6-2.

Harapan penyokong tuan rumah yang berkunjung ke Stadium Putra, Bukit Jalil melihat Ariez bangkit dengan aksi yang lebih bertenaga untuk sekurang-kurangnya memberi cabaran sengit kepada Sijsling tidak menjadi kenyataan, sebaliknya ia berlangsung penuh berat sebelah. Ariez menyerah dengan kiraan 1-6.

"Saya bermula dengan yakin, lawan sedikit gemuruh tetapi lama kelamaan dia mula memukul dengan lebih bertenaga, lebih tajam dan saya gagal menyainginya.

"Saya rasa saya tidaklah bermain dengan buruk, malah saya fikir prestasi saya meningkat berbanding tahun lalu. Saya juga tidak lagi berasa gementar seperti dulu.

"Banyak pengalaman berharga saya timba walaupun singkat. Saya sedar untuk mahu mengejutkan pemain ranking lebih tinggi bukanlah sesuatu mustahil, cuba lebih banyak masa diperlukan untuk mengurangkan jurangnya ," kata Ariez, kini menduduki ranking 1,557, yang membuat penampilan ketiga pada kejohanan ini.

Ini kali pertama Ariez mengecapi aksi di pusingan sebenar selepas bertuah dipilih untuk bertanding atas tiket wildcard, menggantikan kekosongan yang ditinggalkan pemain Amerika Syarikat, Brian Baker yang diberi pengecualian khas oleh penganjur.

Dengan tewasnya Ariez, cabaran negara dalam perseorangan telah pun berakhir selepas empat lagi rakan sepasukan Si Yew Ming, Assri Merzuki, Ahmed Deedat Abd. Razak dan Syed Agil Syed Naguib pada aksi kelayakan Sabtu lalu.

Cabaran pemain negara bagaimanapun belum berakhir kerana pemain No.1 kebangsaan, Yew Ming akan turun dalam acara beregu, berpasangan dengan Jimmy Wang dari Taiwan, menentang pilihan ketiga Alexander Peya dan Bruno Soares (Austria-Brazil) hari ini.

Assri dan Syed Agil juga diberi tiket wildcard untuk beregu, dan mereka dijangka bukan tandingan pilihan utama dari Poland, Mariusz Frysternberg-Marcin Matkowski yang merupakan gandingan No.21 dunia.

Sementara itu, kejutan pertama berlaku pada hari pertama semalam menyaksikan tersingkirnya pilihan kelapan, Juergen Melzer kepada Vasek Pospisil dari Kanada 4-6, 0-2 selepas jaguh Austria itu menarik diri pada pertengahan set kedua kerana kecederaan paha.---www.utusan.com.my