Monday, 9 January 2012

Yus Syazlin sasar ranking pertama Asia

WALAUPUN baru berusia 13 tahun tetapi kejayaan Yus Syazlin Nabila Yusri menghuni ranking ketiga Remaja Asia Bawah 14 Tahun Persekutuan Tenis Asia (ATF), tahun lalu membuktikan dia adalah permata berharga tenis negara.
Meminati dan menjadikan bintang tenis dunia dari Russia, Maria Sharapova sebagai idola, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Lailatul Shahreen Kangar, Perlis itu mensasarkan dapat memanjat ranking pertama tahun ini.
"Saya mensasar ranking pertama tahun ini, selain bercita-cita sebelum umur 16 tahun saya mampu menduduki kelompok 100 pemain terbaik Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) dan satu hari nanti dapat beraksi dalam WTA.
"Namun, saya sedar ia bukan mudah, sebaliknya saya perlu bekerja keras dan memberi komitmen tinggi bermula sekarang," kata penerima Anugerah Tunas Harapan Puteri Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) - Milo Peringkat Kebangsaan 2011 itu.
Namun, apa yang membimbangkan Yus Syazlin ialah mengenai dana kerana jika dia mahu mencapai cita-citanya itu dia perlu sokongan kewangan yang kukuh membolehkan beraksi dan menyertai lebih banyak kejohanan.
"Jika dikira, saya memerlukan sekurang-kurangnya RM36,400 setahun beraksi dalam 12 kejohanan ATF tahun ini. Semua kejohanan itu membolehkan pemain mengumpul mata dan dikira untuk kedudukan ranking.
"Saya berharap ada syarikat korporat sudi membantu bagi merealisasikan cita-cita saya," katanya yang akan menyertai kejohanan ATF yang pertama tahun ini di Vietnam, bermula Khamis ini.

BIODATA
Umur: 14
Mula Bermain: 6 tahun

Pencapaian:
Ranking Ketiga Asia Bawah 14 Tahun
Anugerah Tunas Harapan Puteri MSSM 2011
Tempat ketiga Kejohanan ATF di Myanmar
Suku Akhir ATF di Jakarta l Juara ATF Siri di Melaka
Juara ATF Siri di Pulau Pinang
Juara Kejohanan Antarabangsa Perlis